Arkib Berita dan Peristiwa



Video 1 : Kanak -Kanak Orang Asli Kg Bakar Batu,Johor Bahru.


Johor: Lara nelayan Orang Asli
2010/07/30

32 keluarga di Kampung Bakar Batu dakwa hilang sumber rezeki akibat projek penambakan laut sekitar perairan Tebrau

JOHOR BAHRU: Lara hati 32 keluarga Orang Asli Kampung Bakar Batu, di sini memerlukan ‘ubat’ sebelum kehidupan mereka terus melarat berikutan kehilangan mata pencarian akibat projek penambakan laut di sekitar perairan Tebrau kini.

Malah, tinjauan ke lokasi berkenaan dengan menaiki bot penduduk mendapati dakwaan Orang Asli bahawa kehidupan laut seperti ikan, kupang, ketam yang ditangkap berhampiran pokok paya bakau pupus berasas, selepas air laut kini dicemari air tanah merah dari tapak projek. Tok Batin, Kais Ki, 47, berkata, sejak kerja pembinaan berhampiran kampung mereka bermula, penduduk mengeluh kerana air laut kotor menyebabkan hasil laut susah diperoleh dan benih kupang yang dibela turut mati. “Sudahlah pokok bakau tidak lagi menjadi lubuk rezeki, nelayan Orang Asli berpakat sesama sendiri terpaksa menyusuri hingga ke Tanjung Pelepas dan kawasan berdekatan untuk menangkap ikan.

“Kehidupan penduduk makin susah dan saya berharap pemaju memberikan pampasan kerana kami sudah kehilangan mata pencarian kerana hasil laut seperti ikan, ketam, kupang susah diperoleh, ”katanya ketika ditemui di sini.

Maya Lam, 30-an berkata, kerana hasil laut susah diperoleh penduduk melakukan pekerjaan sampingan bagi menampung perbelanjaan barang dapur, susu anak dan perubatan.

“Hidup Orang Asli memang susah. Hendak memperoleh RM10 hasil jualan pumpun (umpan cacing) pun payah walaupun sudah menunggu pelanggan sejak awal pagi sampai tengah hari.
“Kami mengutip tin kosong, botol plastik yang hasilnya yang tidak seberapa, hendak cari besi buruk nanti dianggap mencuri pula tetapi pendapatan itulah digunakan untuk beli barang dapur, susu anak dan ubat, ” katanya.

Kok Usop, 33, berkata, beliau berpakat bersama rakan meredah hingga ke sungai berhampiran kerana ikan sudah ‘segan’ hidup di tempatnya.

“Selalu saya bersama kawan akan tangkap ikan di Sungai Pendas, Sungai Melayu, Bakar Batu Skudai dan pergi ke Tanjung Pelepas Pontian tetapi itu pun nasib jika ada ikan.

“Jaring pun kami sewa dengan harga RM100 bagi tempoh seminggu daripada kawan yang tidak turun ke laut dan biasanya kalau belanja minyak diesel pergi serta balik adalah RM70. Jika ada ikan kira nasib baiklah, kalau tidak ada, kami akan rugi kerana duit belanja yang tidak seberapa sudah habis, ” katanya.

Yang Tom, 40-an berkata, akibat kerja penambakan dan pengorekan dasar laut bagi menanam cerucuk, 14 rumah yang diberikan percuma oleh kerajaan negeri kini mengalami keretakan.

“Sejak projek ini bermula, hampir 14 rumah sederet rumah kami retak. Bukan saja dinding malah lantai juga sama bukan saya tipu tapi tengoklah dan tanyalah jiran lain.

“Ke mana kami nak mengadu? sejak pemaju mulakan kerja pembinaan rumah kami pecah sana-sini kerana tanah di pinggir laut seperti kami ini tidak kuat, ” katanya. 


SUMBER :BERITA HARIAN (2010/07/30)

------------------------************------------------------------**************----------------------------------***************---------------------

Iskandar Malaysia tak pinggir Orang Asli Bakar Batu


Iskandar Waterfront Development Sdn. Bhd.(IWD) member jaminan kepada masyarakat di Perkampungan Orang Asli Bakar Batu, Sungai Danga, di sini, yang mereka tidak diketepikan daripada menikmati faedah Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia yang sedang dibangunkan.
Komitmen itu diterjemahkan melalui usaha IWD yang kini merancang menyediakan kemahiran dan membuka ruang penyertaan kepada masyarakat Orang Asli di perkampungan itu dalalm bidang hospitaliti dan pertanian moden.
Ketua Pegawai Eksekutif IWD, Adlan Ahmad, berkata pihaknya sedar masyarakat Orang Asli di Kampung Bakar Batu terbabit dalam projek pembangunan yang sedang dilaksanakan Iskandar Malaysia.
Sehubungan itu,beliau berkata, langkah proaktif sudah dan sedang dilakukan untuk mendekati masyarakat berkenaan bagi memastikan mereka tidak tersisih dan dipinggirkan dalam menikmati pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
"Dalam tempoh terdekat ini, kami sedang membuat kajian dan perancangan membawa program kemahiran seperti jahitan, pertukangan dan pertanian moden kepada Orang Asli, di sini.
"Selain itu, kami merancang membekalkan kemahiran kepada mereka dalam bidang hospitaliti supaya dapat diserapkan ke dalam industry berkenaan yang wujud di Wilayah Iskandar,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis berbuka puasa IWD dan pendudukn Kampung Bakar Batu, kelmarin. Hadir sama Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad.
Pada majlis itu, 30 keluarga Orang Asli menerima sumbangan Aidilfitri dalam bentuk hamper dan wang tunai daripada IWD yang disampaikan Nur Jazlan.
Adlan berkata, program itu antara tanggungjawab social IWD dalam menyumbang terutama sempena Ramadan dan persediaan menyambut hari lebaran tidak lama lagi.
"IWD sentiasa turun ke perkampungan ini, pegawai kami akan mendekati penduduk dan mendengar apa yang mereka harapkan dan mahukan bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan selaras dengan kehendak kerajaan,"katanya.

14 September 2009 , By Harian Metro